Ahad, Mac 24, 2013

APAKAH ESSCOM?


Penubuhan Kawasan Keselamatan Khas Timur Sabah (ESSCOM) akan membabitkan penyelarasan kerjasama antara tiga komponen, iaitu penduduk setempat, pasukan tentera dan pihak polis bagi membanteras ancaman pengganas.

Sehubungan itu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata satu mesyuarat diadakan semalam bagi merangka strategi bagaimana mahu membabitkan orang ramai, terutama masyarakat setempat dalam ESSCOM.


“Kementerian Dalam Negeri (KDN) berpendapat benteng pertahanan pertama mestilah masyarakat setempat, sebab itulah anggota RELA, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) serta Ketua Kampung digerakkan untuk usaha ini.

“Mereka ini boleh menjadi mata dan telinga pasukan keselamatan negara selain berperanan membendung penyebaran khabar angin, sekali gus memberi keyakinan kepada rakyat Sabah bahawa negeri itu selamat.

Kenal pasti kawasan

“Kita dah kenal pasti beberapa kawasan bagi penubuhan ESSCOM. Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, akan membuat pengumuman mengenainya dalam masa terdekat,” katanya pada sidang media di sini semalam.

Katanya, KDN sudah mengambil perhatian mengenai keperluan kabin, balai, Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) serta lima batalion yang perlu ditempatkan di kawasan berkenaan.


Penubuhan ESSCOM diumumkan Perdana Menteri 7 Mac lalu, ketika meninjau operasi pasukan keselamatan membanteras pengganas di Kampung Tanduo, Lahat Datu dan kini pada peringkat akhir pelaksanaan.

Dalam pada itu, Hishammuddin juga memaklumkan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman, akan melancarkan unit rondaan bermotor pasukan polis di Kota Kinabalu hari ini dan di Sandakan pada hari berikutnya dalam usaha memberi keyakinan kepada penduduk Sabah bahawa negeri itu selamat.

Artikel Tambahan Boleh Klik SINI

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...